2 SEPT : Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Lembagai Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melaksanakan pelbagai projek atau program pembangunan mencecah hampir RM2 bilion di Kedah terutamanya kawasan luar bandar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyarakat luar bandar termasuklah di negeri Kedah seharusnya bersyukur dengan pembangunan luar bandar yang semakin rancak dilaksanakan.
Selain melaksanakan projek pembangunan, menurut Ismail Sabri, Kerajaan juga melabur dalam pembangunan modal insan dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa terutamanya di luar bandar, sebagai contoh, mengadakan 47 Taman Bimbingan Kanak-Kanak dan 11 Taman Asuhan Kanak-kanak di Padang Terap, di sini.
“KEMAS turut menawarkan pelbagai kelas-kelas kemahiran seperti kelas komputer, jahitan, masakan dan bina insan yang memberi manfaat yang besar kepada golongan belia di daerah Padang Terap ini.
“Penyedia program pembangunan modal insan seperti MARA turut mengadakan pelbagai kursus kemahiran di sini melalui GIATMARA Padang Terap.
“Di samping itu, penyediaan akses pendidikan berkualiti di peringkat matrikulasi dan asasi melalui program menaik taraf infraktuktur orang kelainan upaya (OKU) di Kolej Kuala Nerang, dijangka akan memberi manfaat kepada 100 pelajar OKU.
“Tahniah saya ucapkan kepada KPLB dan agensi-agensi di bawahnya termasuk KEDA, FELCRA, RISDA, KEMAS dan MARA yang terus-menerus menyumbang bakti dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia di Padang Terap, Kedah hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengucapkan syabas kepada rakyat di daerah Padang Terap yang bertungkus lumur bergotong royong menjayakan program Kenuri Rakyat hari ini.
Katanya, beliau dimaklumkan, penyediaan makanan untuk jamuan diadakan secara rewang atau gotong-royong oleh anak-anak jati Padang Terap.
“Syabas kerana amalan ini masih lagi menjadi satu tradisi di banyak kawasan di Daerah Padang Terap ini.
“Saya juga dimaklumkan kesemua lapan Penghulu Mukim dan JPKK bertungkus-lumus melakukan menyediakan jamuan ‘Kenuri’ Rakyat ini, bermula dengan menumbangkan 10 ekor lembu, melapah daging, menyediakan semua ramuan, memasak sehinggalah selesai juadah yang terhidang pada hari ini.
“Saya begitu teruja melihat kemeriahan suasana ‘Kenuri’ Rakyat pada pagi ini dan jelas kelihatan keceriaan warga Keluarga Malaysia Padang Terap yang hadir, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.
Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada KPLB, KEDA, kerajaan negeri dan rakyat Kedah di atas penganjuran program Kenuri Rakyat Keluarga Malaysia.
“Terima kasih juga kepada penglibatan semua jabatan dan agensi serta pihak Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang baik secara langsung atau sebaliknya dalam majlis ini, sekali gus menunjukkan kesatuan hati Keluarga Malaysia,” ujarnya.