2 SEPT :: Wabak penyakit bawaan air dikesan tercetus di kawasan yang dilanda banjir besar, ketika pihak berkuasa bertungkus lumus mempertingkat usaha memastikan penyediaan air minuman bersih kepada ratusan ribu penduduk yang kehilangan rumah mereka akibat bencana itu.
Pada masa sama, agensi kanak-kanak bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memaklumkan bahawa lebih tiga juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan, selain berdepan risiko semakin tinggi untuk dijangkiti penyakit, lemas dan mengalami kekurangan zat makanan susulan insiden banjir kali ini yang direkodkan sebagai antara terburuk dalam sejarah Pakistan.
Selain itu, pihak berkuasa Pakistan dan agensi bantuan juga bekerja keras untuk memastikan ketersediaan kemudahan perubatan kepada ribuan wanita hamil yang merupakan sebahagian daripada 33 juta mangsa banjir berkenaan.
Masalah kesihatan seperti cirit-birit, penyakit kulit dan jangkitan mata dilaporkan merebak di kem-kem bantuan yang didirikan oleh kerajaan di seluruh negara.
Malah, lebih 90,000 kes cirit-birit dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu dari Sindh yang juga antara wilayah paling terkesan dengan banjir kali ini, menurut laporan dikeluarkan pegawai kesihatan. Gejala sama turut dilaporkan di kawasan banjir lain.
Kemas kini perkembangan yang begitu menggusarkan itu menyusul sehari selepas Pakistan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membangkitkan kebimbangan akan penularan penyakit bawaan air dalam kalangan mangsa banjir.