3 SEPT : Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengesahkan beliau telah dipanggil polis untuk dirakam keterangan berkaitan pendedahan beliau mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.
Rafizi memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di Facebook miliknya dan berkata beliau akan hadir jam 3 petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
“Saya dipanggil polis untuk dirakam kenyataan berikutan laporan polis yang dibuat minggu ini. Saya harap pihak polis juga bertindak secepat mungkin (seperti ini) untuk menyiasat laporan dibuat Sdr (Saudara) Akmal Nasir (Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir) terhadap Latiff Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad), mengenai pendedahan laporan forensik LCS yang menamakannya sebagai terbabit dalam kontrak-kontrak pertahanan,” katanya.
Pihak polis sudah pun mengambil keterangan Abd Latiff semalam susulan laporan polis yang dibuat pegawainya terhadap Rafizi berkaitan isu ini Selasa lalu.
Laporan itu dibuat susulan kenyataan Rafizi yang mengaitkan Abd Latiff dan seorang wanita bernama Zainab Mohd Salleh didakwa isteri keduanya, turut terbabit dalam penyelewengan projek LCS.