3 SEPT : Mahasiswa yang menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia kini tidak lagi perlu memulangkan peranti itu, di mana kerajaan sebelum ini menetapkan PerantiSiswa itu diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP), yang mana mahasiswa perlu memulangkannya selepas tamat pengajian.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai susulan maklum balas pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lepas.
“Atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara YB Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang.
“Sukacita saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk memberikan terus tablet berjenama ini kepada penerima PerantiSiswa. Jadi tidak perlu pinjam tidak perlu pulang balik. Kerajaan beri terus kepada penerima,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam hari ini.
Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.
Tablet jenama Samsung telah dipilih sebagai pemenang tender bagi program berkenaan untuk membekalkan peranti itu mengikut lima zon iaitu Zon Sabah dan Sarawak, Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur dan Zon Selatan.
Kerajaan juga kata Ismail Sabri lagi bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bertujuan untuk memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses Internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.
Jelasnya, pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah itu dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini setelah diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 lalu.
“Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih,” ujarnya.
Menyentuh tentang Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi bagi memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara, Ismail Sabri berkata program tersebut akan diperluaskan lagi ke lebih banyak kampus di dalam negara.
Katanya, kerajaan yakin dengan penganjuran program di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.
“Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak Kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad dalam ucapannya mengumumkan, seramai 65,898 pelajar IPTA telah memohon di mana 45,341 permohonan telah diluluskan, dan baki 20,557 masih dalam semakan pengesahan.