3 SEPT : Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), untuk tempoh dua tahun bermula 30 Jun lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) Kali Ke-259 pada 30 Jun lalu berkenan untuk menaik taraf jawatankuasa itu, dan Mohd Zuki diperkenan sebagai Pengerusi secara Ex-Officio berkuat kuasa hingga 29 Jun 2024.
“Jawatankuasa itu telah dinaikkan taraf daripada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia (PKJ) yang sebelum ini dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.
“Penyampaian watikah pelantikan Mohd Zuki telah disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI, pada 1 September lalu.
“Keanggotaan jawatankuasa itu terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selepas mendapat perkenan Raja Pemerintah di negeri terbabit, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri, dan dua ahli yang dilantik oleh MKI dengan perkenan MRR,” kata Hakimah yang juga Setiausaha MKI dalam kenyataan tersebut.
Beliau berkata, jawatankuasa dengan JAKIM selaku urus setia itu ditubuh bagi menyediakan platform membincangkan perkara dasar berkaitan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
“Ia bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini berada pada tahap terbaik selari dengan undang-undang, dasar dan peraturan yang berkuat kuasa, selaras agama Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya lagi.
Jawatankuasa itu juga bertindak sebagai kumpulan pemikir bagi menentukan dasar berkaitan tadbir urus terbaik hal ehwal Islam, selain bertanggungjawab menyelaras dan mewujudkan keseragaman dalam pentadbiran serta pelaksanaan hal ehwal agama Islam di negara ini.