3 SEPT : Seorang wanita warga emas maut selepas dilanggar kereta ketika suaminya menghidupkan enjin kenderaan itu dalam keadaan bergear di hadapan sebuah rumah di Kampung Bukit Tukang Jusoh, di Sungai Petani hari ini.
Menurut etua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, kejadian malang itu berlaku pada pukul 3 petang itu menyebabkan mangsa yang berusia 69 tahun meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan di anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata pasangan suami isteri itu pada mulanya menghadiri majlis kenduri kahwin di kampung berkenaan dan sebaik tiba, suami mangsa meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah penduduk .
“Dan selepas selesai menghadiri kenduri mereka bersiap untuk pulang ke rumah di Kampung Telok Amboi dan ketika suami mangsa yang berusia 76 tahun menghidupkan enjin kereta yang masih dalam keadaan bergear, ia menyebabkan kenderaan itu bergerak ke hadapan dan melanggar isterinya,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati Proton Iswara Aeroback yang dinaiki pasangan itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan kiri dan pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu dikenali ramai kerana menjalankan perniagaan menjual pulut udang di kawasan kampung mereka.