Bursa Malaysia ditutup rendah ekoran prestasi lemah pasaran serantau
5 SEPT : Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin berikutan pelabur dilihat enggan membuat pelaburan yang lebih besar ekoran ketiadaan pemangkin belian, dalam keadaan prestasi pasaran serantau yang lemah, kata peniaga.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran turun 1.38 mata atau 0.09 peratus kepada 1,489.80 daripada 1,491.18 ketika ditutup pada Jumaat lalu.
Indeks utama itu dibuka 0.85 lebih tinggi kepada 1,492.03 sebelum bergerak di antara 1,486.79 dengan 1,494.81 sepanjang sesi dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 499 berbanding 367, manakala 389 kaunter tidak berubah, 1,031 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.08 bilion unit bernilai RM1.25 bilion daripada 2.18 bilion unit bernilai RM1.57 bilion Jumaat lalu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati walaupun aliran masuk bersih daripada dana asing berterusan dengan mencecah RM8.1 bilion setakat ini bagi tahun ini.
“Ekoran ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat di peringkat global, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat lebih besar, bergerak di antara 1,470 dengan 1,500 bagi minggu ini,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, di peringkat rantau, kebanyakan indeks utama menunjukkan aliran lebih rendah memandangkan pelabur kekal bimbang mengenai prospek ekonomi global, di tengah-tengah krisis tenaga di Eropah dan laporan sekatan pergerakan baharu berkaitan COVID-19 di China.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Maybank naik satu sen kepada RM8.94, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing menokok lima sen kepada RM8.82 dan RM6.20, Public Bank tidak berubah pada RM4.67 manakala CIMB kurang dua sen kepada RM5.48.
Bagi saham aktif, SNS Network dan Focus Dynamics masing-masing susut setengah sen kepada 26 sen dan 1.5 sen, Vortex Consolidated dan Aimflex masing-masing tidak berubah pada 16.5 sen dan 12.5 sen, manakala Jade Marvel menambah 2.5 sen kepada 29 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.76 mata kepada 10,553.77; Indeks FBMT 100 kurang 1.73 mata kepada 10,308.03; FBM ACE susut 46.53 mata kepada 4,760.15; Indeks FBM Emas Syariah menguncup 3.68 mata kepada 10,595.95 manakala FBM 70 naik 29.33 mata kepada 12,590.48.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 43.74 mata kepada 7,001.58; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.05 mata kepada 181.27; Indeks Tenaga meningkat 3.66 mata kepada 700.73 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 6.81 mata kepada 16,770.82.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.13 bilion saham bernilai RM996.74 juta daripada 1.16 bilion saham bernilai RM1.25 bilion pada Jumaat lalu.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 258.23 juta unit bernilai RM42.74 juta daripada 197.21 juta unit bernilai RM32.40 juta minggu lalu.
Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 694.60 juta saham bernilai RM212.10 juta berbanding 818.70 juta saham bernilai RM291.65 juta pada Jumaat lalu.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 169.16 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (293.66 juta), pembinaan (55.07 juta), teknologi (101.46 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (37.45 juta), hartanah (161.67 juta), perladangan (16.74 juta), REIT (4.38 juta), dana tertutup (1,000), tenaga (153.78 juta), penjagaan kesihatan (78.66 juta), telekomunikasi dan media (11.71 juta), pengangkutan dan logistik (28.36 juta) serta utiliti (19.80 juta). -BERNAMA