5 SEPT : Indikator berkaitan COVID-19 terus menunjukkan penurunan tanpa perubahan besar sejak sebulan lalu, demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Kata Dr Noor Hisham menerusi satu kenyataan hari ini, bagi Minggu Epidemiologi (ME) 35/2022 atau dari 28 Ogos sehingga Sabtu lalu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital tidak berubah.
“Kemasukan pesakit kategori satu dan dua berkurangan 9.4 peratus manakala pesakit kategori tiga hingga lima menyusut 3.6 peratus.
“Penggunaan katil bukan kritikal turun satu peratus manakala katil di unit rawatan rapi (ICU) meningkat satu peratus.
“Kegunaan katil di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) turun dua peratus namun peratusan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat sedikit iaitu 0.2 peratus,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Dr Noor Hisham berkata, kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan aliran penurunan.
Katanya, bilangan pesakit ke CAC turun 21.4 peratus manakala kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut berkurangan 18.7 peratus.
“Kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital turun 24.9 peratus.
“Trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya) pada akhir ME 35/2022 menunjukkan penurunan 35.7 peratus berbanding akhir ME 34/2022 (dari 55,021 kes ke 35,406 kes),” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, bilangan kes sembuh pada ME 35/2022 turun 20.9 peratus iaitu daripada 25,037 kes kepada 19,813 kes.
“Bilangan kes baharu berkurangan 16.9 peratus (18,715 kes kepada 15,549 kes), kes tempatan turun 16.8 peratus (18,666 kes kepada 15,530 kes) dan bilangan kes import turun 61.2 peratus (49 kes kepada 19 kes).
“Kes kematian bagi tempoh sama turun 21.7 peratus (60 kes kepada 47 kes) dan purata kes aktif setiap hari ialah 31,333 iaitu penurunan 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya.