6 SEPT : Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) untuk menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.
“Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 dan melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.
“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu hari ini di Putrajaya.
Mesyuarat MED4IRN itu turut dihadiri oleh Menteri-Menteri serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat.
Industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2030.