6 SEPT : Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan dan melemparkan tuduhan liar serta tidak berasas terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, lebih-lebih lagi secara terbuka di media sosial.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, Lokman perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana memburuk-burukkan Perdana Menteri dan institusi kehakiman.
“Lokman bercakap seolah-olah dia jurucakap parti dan ada juga yang memang beranggapan beliau jurucakap parti. Beliau pun bukan ahli MKT dan tidak pernah dilantik menjadi jurucakap parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengumuman Sasaran dan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Ke-20 di Dewan Serba Guna, Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Arau itu turut menyelar tindakan Lokman mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) menggunakan ‘poster boy’ Ismail Sabri untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, keputusan ‘poster boy’ itu sudah dipersetujui ahli pada Perhimpunan Angung UMNO lalu dan turut mendapat sokong rakyat.