7 SEPT : Seorang pemuda Palestin, Yunis Ghasan Tayeh, 21 terbunuh dalam serbuan Israel di Tebing Barat yang dicerobohi akibat terkena peluru di jantung yang dilepaskan oleh askar di kem al-Fara, antara Jenin dan Tubas, yang menyaksikan siri pertempuran sengit dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Tentera Israel bagaimanapun mendakwa tentera yang memasuki kem untuk menangkap orang yang dikehendaki, diserang dengan ‘alat letupan’.
Israel kini sedang meningkatkan operasi di utara Tebing Barat khususnya selepas gelombang serangan terhadap Israel yang meragut 19 nyawa, kebanyakannya warga Israel, pada Mac lalu.
Serbuan di bandar yang ditadbir oleh Palestin itu mencetuskan pertempuran yang semakin kerap dengan penduduk tempatan.
Ketua angkatan tentera, Leftenan Jeneral Aviv Kohavi, kelmarin berkata kira-kira 1,500 orang yang dikehendaki ditangkap dalam serbuan itu dan ‘beratus-ratus serangan’ dihalang.
Semalam, seorang warga Palestin terbunuh dan 16 lagi cedera apabila tentera Israel memasuki Jenin untuk merobohkan rumah penembak yang melakukan serangan di Tel Aviv pada April lalu.