8 SEPT : Penularan wabak selesema burung menyebabkan kematian 43 juta ekor ayam dan ayam piru tahun ini di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Menurut pegawai pertanian Persekutuan, sebahagian besar jangkitan dikesan di sebuah ladang pengeluaran telur di Ohio.
Sekurang-kurangnya tiga kes disahkan hujung minggu lalu, di Defiance County, Ohio yang menjejaskan kira-kira tiga juta ekor ayam, menurut Jabatan Pertanian AS (USDA).
Sehubungan itu, kata doktor veterinar negeri, Dennis Summers, ladang pengeluar telur terbabit sudah mula melupuskan semua ayam ternakan mereka.
Penyakit bersifat patogenik tinggi itu kini disahkan kembali di wilayah Midwest lebih awal daripada yang dijangkakan pihak berkuasa, selepas tempoh bertenang selama beberapa bulan.
Beberapa kes sudah dilaporkan di Indiana, Minnesota, North Dakota dan Wisconsin dalam tempoh seminggu lalu selain jangkitan turut dikesan di negeri barat AS sepanjang musim panas.
Kata Summers, vektor pembawa penyakit berkenaan lazimnya adalah unggas air yang berhijrah seperti angsa dan itik.
Ia hanya sekali sekala menjangkiti manusia, umpamanya pekerja ladang dan USDA memastikan haiwan yang dijangkiti tidak memasuki rantaian bekalan makanan.
Jangkitan selesema burung awal tahun ini menyebabkan kenaikan harga telur dan daging ayam tetapi berkurangan menjelang Jun, namun pihak berkuasa memberi amaran mungkin berlaku peningkatan penularan pada musim luruh ini.