8 SEPT : Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 merupakan satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi Kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri Halal di Malaysia dan seterusnya memperkasakan lagi jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan hasil jualan daripada pameran perdagangan bertaraf antarabangsa seumpama MIHAS dari tahun ke tahun akan memberi kesan limpahan kepada sektor berkaitan Halal, dan secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan syarikat-syarikat Malaysia, khususnya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Peluang bagi pembangunan industri Halal sentiasa terbuka luas berikutan populasi Muslim global kini mencecah 1.9 bilion pada tahun lepas.
“Ini menunjukkan potensi tinggi dalam mempelbagaikan industri Halal secara lebih inklusif dan komprehensif dalam jangka masa panjang.
“Petunjuk Ekonomi Islam Global ini turut meramalkan bahawa pasaran Halal akan berkembang daripada RM8.8 trilion (USD2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (USD3.27 trilion) menjelang 2028.
“Malah, peningkatan jualan sektor Halal ini akhirnya akan melonjakkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), di samping membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada masyarakat Malaysia untuk membawa industri Halal ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan perasmian MIHAS 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) Kuala Lumpur.
Kata beliau lagi, keupayaan menganjurkan MIHAS ke-17 secara maya tahun lepas telah berjaya mencatatkan hasil jualan eksport sebanyak RM2.13 bilion yang sekali gus meletakkan MATRADE di tempat pertama bagi “Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik” pada majlis penganugerahan ‘World Trade Promotion Organization 2022’.
“Saya amat menghargai usaha MITI dan MATRADE yang telah bertindak sebagai ‘Barisan Hadapan Ekonomi’ untuk memulihkan ekonomi negara dengan menaikkan janaan hasil negara ketika kita masih berhadapan dengan ancaman COVID-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian negara di mana dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’, menandingi 81 negara lain.
Penilaian ini menurut beliau telah dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur Halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan.
“Antara inisiatif Kerajaan untuk memudahkan pertumbuhan industri Halal Malaysia ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal strategik yang telah menerima status Halal Malaysia (HALMAS) daripada HDC.
“Setiap Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan Halal, serta insentif menarik daripada kerajaan Malaysia yang sentiasa menggalakkan pembangunan Halal.
“Sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional.
“Sehingga kini, Taman Halal telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, di mana RM9.5 bilion atau 59 peratus dari jumlah ini adalah pelaburan langsung asing (FDI),” ujarnya.