8 SEPT : Tiada keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) buat masa ini, demikian tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob .
Empat Menteri Kanan ketika ini kata Perdana Menteri, dilihat sebagai sudah mewakili TPM dengan keistimewaan yang hampir sama dengan jawatan berkenaan.
Ismail Sabri berkata, perkara ini sudah diperjelaskan kepada wakil Perikatan Nasional (PN) dalam satu perjumpaan sebelum ini.
“Saya sebagai Perdana Menteri ingin memfokus kepada pemulihan ekonomi serta isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup yang meningkat dan sebagainya.
“Itu lebih penting sebenarnya daripada isu lain. Fokus utama ialah mengurangkan tekanan kepada rakyat. Saya rasa rakyat lebih memerlukan perkara ini, bukan bincang perkara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022, di sini, hari ini.
Kabinet bawah pimpinan Ismail Sabri ketika ini tidak mempunyai jawatan TPM, sebaliknya terdapat empat jawatan Menteri Kanan.
Mereka ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengaku membuat draf perjanjian mengenai jawatan TPM, sekali gus mengesahkan perjanjian itu wujud seperti pernah dimaklumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.