9 SEPT : Putera tertua dalam kalangan empat anak Ratu Elizabeth II, Putera Charles, hari ini dinobatkan sebagai Raja Charles III susulan kemangkatan ibundanya.
Pegawai Istana Buckingham di London mengesahkan Putera Charles, 73, dinobatkan sebagai Raja berkuatkuasa serta-merta iaitu Raja pertama dengan gelaran itu, yang menduduki takhta sejak 1685.
Ia susulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, iaitu monarki Britain yang paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, pada usia 96 tahun.
Raja Charles, dalam ucapan pertamanya, menyifatkan kemangkatan Ratu Elizabeth sebagai saat paling sedih bagi baginda dan seluruh ahli keluarganya.
“Kami berkabung atas pemergian seorang Raja yang dihormati dan ibu yang amat disayangi.
“Saya pasti pemergiannya akan amat dirasai di seluruh negara, dunia, Komanwel dan semua individu,” titahnya melalui kenyataan yang ditandatangani ‘Yang Mulia Raja’.
Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan jam 6.30 petang semalam (1750 GMT), memaklumkan kemangkatan baginda dan bermulanya tempoh berkabung selama 10 hari.
“Raja (Charles) dan Permaisuri (Camilla) akan berada di Balmoral dan pulang ke London esok,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pemimpin di seluruh dunia memberi penghormatan dengan menzahirkan ucapan takziah terhadap pemergian baginda yang memerintah selama 70 tahun.
Perdana Menteri Britain baharu, Liz Truss, yang tiga hari lalu mengangkat sumpah jawatan, turut meratapi pemergian baginda.
“Tuhan selamatkan Raja,” katanya dalam ucapan yang tidak diungkapkan di Britain sejak 1952.
Selain itu, ratusan bunga dan lilin yang dinyalakan membanjiri pintu pagar Istana Buckingham di tengah London, sebagai tanda penghormatan rakyat negara itu terhadap pemergian baginda.