10 SEPT : Gabenor New York, Kathy Hochul, mengisytiharkan darurat berikutan wabak polio dikesan telah merebak di seluruh negeri, walaupun hanya satu kes yang telah disahkan setakat ini yang merupakan kes pertama di negara ini dalam tempoh hampir satu dekad.
Pegawai kesihatan di bandaraya itu berkata, sampel air kumbahan di New York City dan empat daerah telah diuji positif mengandungi virus polio yang boleh menyebabkan individu yang dijangkiti lumpuh.
Air kumbahan di negeri itu mula dipantau dan diuji selepas seorang lelaki yang tidak divaksin di Rockland County, di utara Bandar Raya New York, dijangkiti virus tersebut pada Julai dan lumpuh, di mana ia adalah kes pertama yang direkodkan sejak 2013.
Kes itu kemudian dikaitkan secara genetik dengan virus polio yang ditemui dalam sampel air sisa yang dikumpulkan dari Daerah Nassau pada Ogos manakala sampel air kumbahan di Orange County, Sullivan County dan lima daerah di New York City juga telah diuji positif virus berkenaan.
Perintah darurat yang dikeluarkan pada hari Jumaat lalu yang merupakan perintah darurat ketiga di negeri ini tahun ini, di mana perintah serupa telah dikeluarkan untuk wabak COVID-19 dan cacar monyet.
Perintah darurat itu memberi kuasa kepada pekerja perubatan kecemasan dan ahli farmasi untuk menyertai rangkaian pembekal yang boleh melancarkan vaksin polio.
Polio sebahagian besarnya dibasmi dari Amerika Syarikat oleh vaksinasi yang bermula pada tahun 1955 dan menjelang tahun 1979, AS telah diisytiharkan bebas polio.
Kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak, virus ini biasanya menyebabkan kelemahan otot dan lumpuh, dan dalam kes-kes yang paling serius hilang upaya kekal dan kematian.
Jabatan kesihatan negeri New York berkata ia bertujuan meningkatkan kadar vaksinasi daripada purata seluruh negeri semasa iaitu kira-kira 79 peratus hingga melebihi 90 peratus memandangkan tiada ubat untuk polio, tetapi ia boleh dicegah oleh vaksin.