Warga Klang,Kuala Selangor diminta waspada fenomena air pasang besar
10 SEPT : Semua penduduk yang tinggal di sekitar daerah Klang, Kuala Selangor serta kawasan berhampiran, supaya sentiasa peka terhadap risiko banjir berikutan amaran fenomena air pasang besar bermula esok.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, amaran berhubung fenomena itu telah dihebahkan kepada umum bermula semalam, dengan dijangka esok paras air pasang besar akan melebihi ketinggian lima meter.
“Kita sudah beri amaran kepada umum berkenaan air pasang tinggi pada esok, 14 dan 15 Sept ini, ketinggian lebih lima meter. Itu paras yang tinggi. Pada 17 dan 18 Dis tahun lalu tidak sampai 5.4 meter pun, sehingga 4.7 hingga 4.8 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses naik taraf sistem saliran di Taman Melawis, di Klang hari ini.
Amirudin berkata buat masa ini, kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan panas berlakunya banjir termasuk di sekitar Taman Melawis, dengan beberapa langkah jangka masa pendek akan dilaksanakan kerajaan negeri iaitu menambah jumlah pam bagi mempercepatkan aliran keluar air.
Mengulas berhubung mesyuarat bersama semua agensi serta pihak terlibat bagi persediaan menghadapi bencana banjir pada Isnin ini, Amirudin berkata kerajaan Selangor akan mengusulkan berhubung persediaan kelengkapan di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk dihantar lebih awal ke kawasan kerap berlaku banjir.
Katanya ini bagi mengelakkan berlaku situasi panik seperti peristiwa banjir Disember lalu, dengan kebanyakan kelengkapan PPS diletak secara berpusat dan ia menyukarkan proses penghantaran apabila banyak jalan raya ditenggelami air.
Sementara itu, Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan, bulan ini paras air laut tertinggi di Stesen Pelabuhan Klang dijangka pada Isnin ini (12 Sept) iaitu 5.5 meter pada 7.18 pagi manakala pada esok, 13 dan 28 Sept pula pada paras 5.4 meter sekitar jam 6.42 pagi hingga 7.49 pagi.
“Pada 14, 27 dan 29 Sept, paras air laut pada 5.3 meter sekitar jam 6.52 pagi hingga 8.16 pagi. Penduduk Klang diingatkan bersedia menghadapi fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut (MTL) mulai September hingga Disember depan, yang boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban,” menurut hantaran itu.
Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menerusi akaun video di Tiktok rasminya memaklumkan, sebanyak 13 kawasan di sekitar Kuala Selangor berpotensi untuk berlakunya kejadian banjir susulan air pasang besar serta hujan berterusan bermula semalam hingga esok.
“Antara kawasan berpotensi adalah Tambak Jawa, Pantai Remis, Pantai Jeram, Kampung Sungai Janggut, Kampung Sungai Sembilang, Pekan Sungai Buloh, Pekan Kuala Selangor, Kampung Sungai Yu, Pekan Tanjong Karang, Parit 4 Sekinchan dan Bagan Pasir Tok Adam,” kata menerusi video berdurasi 1.39 minit itu.