12 SEPT : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar memberikan rawatan yang terbaik buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan masalah kesihatan yang dihadapi beliau.
Kata Ismail Sabri menerusi kenyataan ringkas di Facebook miliknya, beliau telah pun dimaklumkan berhubung kesihatan bekas Perdana Menteri itu.
“Saya telah dimaklumkan mengenai kesihatan Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya telah mengarahkan KKM agar memberikan rawatan terbaik yang diperlukan beliau. Saya doakan beliau terus diberikan kesihatan yang baik,” katanya menerusi ciapan Twitter miliknya hari ini.
Datuk Seri Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari Jumaat, 9 September lalu susulan tekanan darah berada pada tahap tinggi dan berbahaya kerana pertukaran ubat yang diberikan untuk merawat masalah ulser di dalam perut bekas Perdana Menteri itu.