13 SEPT : Bursa Malaysia mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turut dengan ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung di kaunter saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya saham perbankan.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.12 mata atau 0.68 peratus kepada 1,487.84 daripada 1,497.96 sewaktu ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras yang dibuka rendah 0.56 mata kepada 1,497.40 bergerak di antara 1,482.38 dengan 1,497.88 sepanjang dagangan hari ini.
Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 449 berbanding 351, manakala 449 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.64 bilion unit bernilai RM1.74 bilion daripada 2.63 bilion unit bernilai RM1.55 bilion pada Isnin.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata penjualan hari ini memberikan kelebihan kepada pelabur berikutan FBM KLCI yang terkurang nilai.
“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks penanda aras dalam aliran lebih tinggi untuk tempoh berbaki minggu ini, bergerak dalam lingkungan 1,480-1,510, dengan paras sokongan serta-merta pada 1,480 dan paras rintangan pada 1,500,” katanya kepada Bernama.
Indeks pasaran serantau utama ditutup kebanyakannya tinggi, disokong oleh keyakinan menjelang pengeluaran data inflasi Amerika Syarikat yang dijangka meningkat pada Ogos, katanya.
“Bagaimanapun, peningkatan adalah terhad berikutan pelabur berhati-hati ke atas aktiviti ekonomi China yang perlahan susulan sekatan berkaitan COVID-19 baru-baru ini.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Bursa seperti Maybank susut tujuh sen kepada RM8.92, Public Bank berkurangan 10 sen kepada RM4.52, Petronas Chemicals merosot 18 sen kepada RM8.71, CIMB menguncup dua sen kepada RM5.45 dan IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.20.
Saham aktif menyaksikan Metronic Global dan CSH Alliance berkurangan setengah sen, masing-masing kepada 2.5 sen dan empat sen, manakala Aimflex menokok 2.5 sen kepada 15.5 sen, Velesto Energy meraih 1.5 sen kepada 11.5 sen dan MY E.G bertambah dua sen kepada 87.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 57.33 mata kepada 10,598.26, Indeks FBMT 100 menguncup 59.38 mata kepada 10,340.22, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 2.47 mata kepada 10,720.48, FBM 70 merosot 29.54 mata kepada 12,814.43, manakala FBM ACE meningkat 6.53 mata kepada 4,900.72.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 1.73 mata kepada 183.45, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 218.83 mata kepada 16,666.99, manakala Indeks Perladangan menokok 21.48 mata kepada 6,998.90 dan Indeks Tenaga meraih 11.21 mata kepada 727.67.
Jumlah dagangan di pasaran utama berkurangan kepada 1.69 bilion saham bernilai RM1.40 bilion daripada 1.79 bilion saham bernilai RM1.18 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran pula bertambah kepada 250.05 juta unit bernilai RM38.34 juta daripada 70.67 juta unit bernilai RM7.85 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 697.23 juta saham bernilai RM296.15 juta daripada 761.86 juta saham bernilai RM362.57 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 228.54 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (746.90 juta), pembinaan (27.58 juta), teknologi (191.45 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (60.14 juta), hartanah (98.26 juta), perladangan (23.65 juta), REIT (5.52 juta), dana/tertutup (sifar), tenaga (166.81 juta), penjagaan kesihatan (91.44 juta), telekomunikasi dan media (16.48 juta), pengangkutan dan logistik (22.82 juta) dan utiliti (12.88 juta).