Dokumen, keterangan siasatan Taufiq Ayman perlu melalui MLA
13 SEPT :Dokumen dan keterangan untuk siasatan terhadap Datuk Tawfiq Ayman suami bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu melalui proses Mutual Legal Assistance (MLA) yang dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses itu adalah untuk memastikan dokumen dan keterangan itu boleh diterima di mahkamah Malaysia
“Pasukan penyiasat telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan terhadap Datuk Taufiq Ayman berkaitan kes 1MDB.
“Bagaimanapun, segala keterangan dan dokumen itu perlu melalui MLA agar ia diterima oleh mahkamah.
“Pada April 2022, PDRM (Polis Diraja Malaysia) telah mengemukakan permohonan di bawah MLA melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa Singapura,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Pada Mac lepas, PDRM ke Singapura untuk mengumpul maklumat atau keterangan berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, menurut Acryl Sani, PDRM masih menyiasat dakwaan Meta Platform Incorporated bahawa wujud akaun palsu di media sosial yang dikatakan mempunyai kaitan dengan PDRM.
Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan.
“Saya menafikan perkara itu sekeras-kerasnya namun saya telah mengarahkan JSJK untuk meneliti dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelantikan Duta Anti-Scam di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.
Ogos lepas, Meta menerusi Quarterly Adversial Threat Report mendakwa ada kemungkinan campur tangan polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform ‘troll farm’