13 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat perolehan bagi vaksin COVID-19 varian baharu khusus untuk kegunaan kanak-kanak yang mempunyai penyakit kronik serta warga emas.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin yang akan diberikan secara percuma itu tidak diberikan kepada semua golongan kerana situasi pandemik COVID-19 di negara ini terkawal.
“KKM mahu fokuskan (pemberian) kepada golongan berisiko tinggi. Sebarang keputusan berhubung perolehan ini akan diumumkan kelak, bersekali dengan perolehan vaksin kepada kanak-kanak berusia bawah lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book of Record dan Pelancaran Laporan ‘Record Breaking COVID-19 Vaccination: Public Private Partnership’ di Putrajaya hari ini,
Kata Khairy lagi, proses pemberian vaksin itu akan dilakukan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta kelak.
Khairy berkata pihaknya telah meminta Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Pediatrik untuk menyediakan data berkaitan pesakit komorbid dan kanak-kanak berisiko di negara ini bagi melancarkan proses pemberian vaksin tersebut,
“Data ini akan dikumpulkan dalam pangkalan data KKM. Ia akan bantu KKM untuk lakukan perolehan vaksin yang mencukupi,” ujarnya.