BN Sabah sedang teliti senarai calon pada PRU15
14 SEPT: Barisan Nasional (BN) negeri Sabah kini dalam proses meneliti senarai calon khususnya dari UMNO sebelum membuat keputusan nama yang dirasakan paling layak untuk dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, (BN) Sabah sudah menerima senarai calon yang dicadangkan ssbagai calon dari setiap bahagiannya.
“BN Sabah khususnya UMNO sudah menerima senarai calon yang dicadangkan dari setiap bahagian dan kita sedang meneliti serta memperhalusinya sebelum memuktamadkan nama yang sesuai.
“Apabila tiba masanya nanti, kita akan mengumumkan calon-calon yang bertanding itu,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan berhubung persediaan BN Sabah untuk menghadapi cabaran PRU-15 hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pertemuan Sesi Libat Urus PRU-15 Biro Politik UMNO Bahagian-Bahagian Negeri Sabah bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di Bangunan UMNO Sabah, Ahad lalu.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah menjelaskan masih terdapat beberapa perkara perlu diperhalusi dan ditambah baik jentera BN negeri bagi menghadapi PRU-15 untuk berada pada tahap 100 peratus bersedia.
“BN Pusat dan negeri tidak hanya semata-mata bergantung kepada laporan di atas kertas tetapi perlu melihat kekuatan jentera di peringkat akar umbi yang akan menentukan kemenangan pada PRU-15.
“Tumpuan ketika ini, ialah untuk memperkasakan lagi jentera BN di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan cawangan memandangkan kedua-duanya adalah jentera penting di peringkat akar umbi,”katanya.
Kunci kemenangan menurut Bung Moktar adalah kekuatan jentera akar umbi dan apa yang penting ialah buat kerja yang terbaik di peringkat PDM, cawangan. Kita bekerja cara mahu menang dan kekuatannya ada di sini.
“Tiada gunanya UMNO BN hanya kuat di peringkat bahagian tetapi di peringkat PDM berterabur, sebab itu jentera di peringkat PDM dan cawangan perlu diperkasakan.
“Langkah itu perlu memandangkan jentera BN negeri akan berhadapan PRU-15 secara berseorangan menerusi gabungan kerjasama semua parti komponen BN,” ujarnya.