17 SEPT : Kerajaan akan sentiasa menyokong usaha dan inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha dan inisiatif seperti itu bukan sahaja untuk menggalakkan perkembangan sektor industri sukan negara, tetapi dapat menyediakan platform kompetitif bertaraf tinggi kepada atlet-atlet negara.
“Kerajaan memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakkan arena sukan negara. Sokongan padu kepada Program Podium untuk merealisasikan kilauan emas Olimpik itu sudah ditunaikan, dengan peruntukan kewangan yang berjumlah RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
“Oleh itu, atlet-atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan perlu diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara
“Itulah komitmen Kerajaan kepada arena sukan negara dan saya menyeru semua pihak, bermula dengan atlet-atlet muda yang bersaing di temasya Sukan Malaysia kali ini, untuk memanfaatkan setiap peluang yang menanti, demi kemajuan sukan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majis Upacara Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XX MSN 2022 malam ini Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kata Ismail Sabri lagi, beliau yakin bahawa kelahiran atlet yang cemerlang bermula dengan ahli keluarga yang memberikan sokongan kepada mereka. Kekuatan utama sukan menurut Perdana Menteri, ialah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat sepasukan kukuh sebagai sebuah keluarga yang erat.
“Pada Sukan Malaysia kali ini, anda semua – atlet-atlet dan barisan para pegawai – hadir sebagai sebuah keluarga daripada pasukan dan negeri yang sama, memburu matlamat yang juga sama.
“Kita ketepikan sebarang perbezaan, tidak kira apa sekalipun, untuk bersatu hati meletakkan kejayaan bersama sebagai tonggak kepada Keluarga Malaysia,” katanya lagi.
Tahun ini sahaja kata Ismail Sabri, negara sudah disuntik dengan rasa gembira dan bangga menerusi pencapaian hebat atlet-atlet di peringkat antarabangsa.
Kejayaan kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 39 Emas, 45 Perak dan 90 Gangsa pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu sebelum dituruti pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham dengan 7 Emas, 8 Perak dan 8 Gangsa pada Julai lalu adalah pencapaian yang membanggakan Keluarga Malaysia, ujarnya.
“Lebih membanggakan, kita kini sudah memiliki juara dunia dalam sukan badminton selepas penantian sejak sekian lama. Namun jangan sesekali kita leka, jangan kita mudah berpuas hati dengan apa yang sudah kita miliki.
“Semangat yang membara harus dan wajar kita teruskan, kerana masih banyak lagi halangan perlu diharungi, lebih banyak lagi rintangan perlu diatasi untuk kita meneruskan rentetan gemilang yang sudah dilakar,” ujarnya.
“Selamat berjuang dengan penuh semangat kesukanan. Manfaatkan peluang ini untuk memupuk semangat setiakawan sesama kita demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta,” katanya.