17 SEPT : Majlis Penasihat Perfileman dan Industri Muzik Malaysia ditubuhkan bagi menggubal dasar-dasar lebih proaktif ke hadapan untuk membantu pemain industri berkenaan, demikian kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Pembentukan majlis baharu itu menurut beliau, dibuat berikutan industri perfileman dan muzik negara mengalami satu lonjakan baharu pasca pandemik COVID-19.
“Kalau kita tengok macam mana hampir RM100 juta dapat dikutip melalui filem Mat Kilau, sekarang ini ada filem Air Force yang sekarang ini sudah mencapai puluhan juta kutipan. Bermakna kalau ada filem berkualiti, ia satu industri yang boleh berkembang besar.
“Untuk maju ke hadapan, indsutri perfileman ini kita perlukan tenaga-tenaga pakar untuk memberi nasihat kepada kerajaan serta industri.
“Kita telah pilih tujuh hingga 10 orang daripada industri perfileman dan lagi tujuh hingga 10 orang dari industri muzik untuk menganggotai majlis berkenaan,” katanya.
Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau di sini hari ini.
Turut hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau Datuk Hameed Myhtheen Kunju Basheer dan Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum.
Dalam majlis yang sama, Annuar turut mengumumkan Timbalan Speaker DUN Melaka merangkap ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar sebagai pengerusi majlis penasihat berkenaan.
“Industri perfileman dan muzik berpotensi besar untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, sekali gus menarik lebih banyak tenaga profesional untuk menyertainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar berkata Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia perlu diteruskan bukan sahaja di peringkat negeri malah komuniti perlu menganjurkannya agar semangat patriotisme itu dapat dibudayakan Keluarga Malaysia.
“Ini adalah penting bagi merakyatkan sentimen dan juga kesedaran tentang kemerdekaan serta pembentukan Malaysia dan ini harus digalakkan dan dilakukan secara berterusan, tidak semestinya pada tarikh-tarikh yang ditetapkan sahaja,” katanya.