17 SEPT : Malaysia menyeru semua pihak yang terlibat dalam pertempuran antara Azerbaijan dan Armenia agar bertenang dan menyambung semula rundingan secara aman bagi memastikan tidak berlaku konflik yang lebih buruk dengan mencari penyelesaian bagi mengembalikan keamanan yang berpanjangan di rantau itu.
Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini berkata, langkah tersebut Malaysia menzahirkan keprihatinan terhadap situasi semasa di Nagorno-Karabakh, yang setakat ini menyaksikan lebih 150 nyawa terkorban akibat pertempuran antara Azerbaijan dan Armenia
“Malaysia sentiasa menyokong berdasarkan empat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta forum pelbagai hala Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).
“Malaysia juga sentiasa menyokong resolusi dan inisiatif oleh OIC dan PBB mengenai konflik Nagorno-Karabakh. Malaysia turut mengundi menyokong Resolution 62/243: The Situation in the Occupied Territories of Azerbaijan, yang diterima pakai pada 14 Mac 2008 pada Sesi ke-62 Perhimpunan Agung PBB,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wisma Putra, resolusi itu selaras dengan resolusi PBB yang berkaitan dengan isu penyelesaian konflik secara aman berdasarkan menghormati integriti wilayah dan larangan mencabuli sempadan wilayah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.