17 SEPT : Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar mendedahkan segera hasil siasatan berkenaan buku kontroversi yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Asyraf ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Tititwangsa hari ini berkata, hasil siasatan tersebut perlu didedahkan segera kerana ia jelas menunjukkan aktiviti salah guna kuasa semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.
“PH juga mempunyai kluster mahkamah, malah, lebih ramai, tetapi digugurkan selepas mereka menjadi kerajaan.
“Sekiranya mereka (PH) kata kita ada kluster mahkamah, mereka ada lagi ramai kluster mahkamah, apabila BN jatuh, mereka tukar Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mereka lantik Latheefa Koya, mereka merancang konspirasi.
“Dalam buku Tommy, beliau sendiri dedahkan bagaimana beliau bersama Tun M (Tun Dr. Mahathir Mohamad) boleh mencatur siapa hakim yang nak dilantik. Ini satu pengkhianatan dengan melakukan pencerobohan ke dalam institusi mahkamah. Bukannya kita, tetapi mereka,” tegasnya.
Disebabkan pencabulan institusi tersebut kata Asyraf, kes -kes mahkamah yang melibatkan pemimpin-pemimpin PH digugurkan.
“Pemimpin-pemimpin mereka yang ada kes rasuah banglo, sudah ada kes prima facie, 25 orang pun sudah memberikan kesaksian di dalam mahkamah. Kes mereka boleh ditarik begitu sahaja, bukan sahaja ditarik, tetapi, dibebaskan dan dilepaskan. Maknanya, kalau kita naik kerajaan, kita tidak boleh mendakwa mereka,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut membidas ‘katak-katak puru’ yang dahulunya bersama tetapi bertindak melompat ke parti lain.