19 SEPT : Jualan kenderaan di Malaysia melonjak kepada 66,614 unit pada Ogos tahun ini berbanding 17,923 unit pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Menurut MAA, jumlah keseluruhan industri bagi Ogos 2022 naik 36 peratus daripada Julai 2022 (48,922 unit) berikutan memenuhi tempahan daripada syarikat kereta yang diterima sebelum 30 Jun 2022.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, jumlah jualan setakat tahun ini bagi Ogos 2022 meningkat 63 peratus kepada 447,209 unit berbanding 274,600 unit dalam tempoh sama pada 2021.
Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 59,769 unit pada Ogos 2022 berbanding 15,475 unit pada Ogos 2021 dan jualan kenderaan komersial naik kepada 6,845 unit pada bulan tersebut daripada 2,448 unit sebelum ini, menurut MAA.
Dari segi jumlah pengeluaran, persatuan itu berkata sejumlah 69,378 unit kenderaan dikeluarkan pada Ogos 2022 berbanding 13,961 unit pada bulan sama tahun lalu.
Katanya pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 64,282 unit pada Ogos 2022 berbanding 12,897 unit pada Ogos 2021 manakala pengeluaran kenderaan komersial meningkat kepada 5,096 unit daripada 1,064 unit sebelum ini.
Mengenai prospek bagi September 2022, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal sama seperti paras pada Ogos 2022 berikutan kekurangan cip dan komponen.