20 SEPT : Satu sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat yang mewakili parti-parti merentasi jurang politik berkenaan isu hukuman mati mandatori telah diadakan hari ini.
Menurut Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar yang mempengerusikan sesi libat urus itu, ia diadakan bagi memberikan taklimat mengenai pindaan-pindaan yang dicadangkan terhadap 11 kesalahan yang membawa Hukuman Mati mandatori dan 23 kesalahan lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
“Cadangan pindaan juga mengambil kira hukuman alternatif dan pindaan berbangkit yang lain.
“Pembentangan ini adalah untuk mendapatkan input sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen pada sesi mesyuarat akan datang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya.
Katanya lagi, pembentangan yang disampaikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM telah meliputi empat perkara iaitu pindaan kepada 34 kesalahan relevan, penyeragaman definisi ‘life imprisonment’ dan ‘natural life sentence’, status moratorium kepada banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati dan rancangan bagi fasa kedua.
“Secara keseluruhannya, saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen berkongsi objektif yang sama iaitu untuk mengekalkan keadilan di negara kita demi kebaikan bersama.
“Pasukan saya di Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Peguam Negara Malaysia, Attorney General’s Chambers Malaysia dan saya komited untuk terus mereformasi undang-undang ini Oktober ini,” ujarnya.