20 SEPT : Kerajaan amat memandang serius mengenai perkara dikhususkan seperti terlibatnya anak-anak Malaysia dalam apa yang dikatakan penghambaan abdi di beberapa negara ASEAN
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata,Kerajaan komited dalam menyelamatkan semua warga tempatan yang menjadi mangsa sindiket seumpamanya di negara luar.
“Isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengarahkan saya melihat perkara ini secara lebih mendalam.
“Saya berterima kasih beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diketuai Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Hishamuddin Hashim sehingga kita rasa terpanggil untuk membawa perkara ini ke Jemaah Menteri esok,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu, Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) yang juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
Menerusi pembentangan itu, beliau percaya isu terbabit akan dapat diselesaikan menerusi perbincangan rentas kementerian, agensi negara ASEAN.
“Biasa dalam Kabinet, kita bincang sesuatu, dia ada (keputusan) multidimensional, dia tak bergerak secara silo walaupun tugas itu banyak bertumpu kepada Wisma Putra.
“Untuk dapatkan kerjasama, kita ada hubungan seperti polis ada ASEANPOL, rangkaian dengan negara ASEAN.
“Itu tidak masuk lagi networking Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bila kita berbincang dengan Kabinet, akan ada kementerian yang mengetuai dengan kerjasama agensi lain juga,” katanya lagi.
Mengulas mengenai jumlah sebenar warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sehingga kini, kata Abd Latiff, angka itu dijangka berubah susulan ada pihak keluarga yang masih belum membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Yang buat laporan polis kita ada, seperti dinyatakan oleh Wisma Putra, umpamanya di Kemboja kita dapat laporan 153 warganegara Malaysia, kita dapat 133 mangsa yang dah buat laporan, ada 20 orang mangsa yang dibawa pulang.
“Itu yang buat laporan, ada mangsa tidak buat laporan ini yang menjadi sukar untuk bahagian penyelamat untuk bawa balik mereka.
“Saya dengar beberapa kumpulan keluarga melahirkan rasa bimbang dengan keadaan anak-anak mereka, kita (kerajaan) amat komited memastikan setiap nyawa rakyat kita di luar negara dapat balik ke Malaysia,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Abd Latiff turut menjelaskan rata-rata kes penipuan kerja melibatkan warganegara di luar negara didapati mangsa menggunakan pasport biasa dan tiada permit kerja.
Katanya, perkara itu sekali gus membuka peluang kepada sindiket untuk mengekploitasi mangsa apabila mereka tiba di negara terbabit tanpa permit yang sah untuk bekerja.
“Ada pelbagai cara sekarang, kadang-kadang mereka tidak berterus-terang, mereka keluar (Malaysia) menggunakan pasport biasa, kerana kita boleh ke mana-mana negara ASEAN dalam tempoh tiga bulan.
“Mereka tidak nyatakan hasrat mereka untuk bekerja, kalau ingin bekerja di luar negara kita perlukan permit yang berbeza.
“Atas perkara ini rakyat kita tertipu, dan ia berlaku apabila mangsa sedar dia kena tipu,” katanya lagi.
Meskipun kerajaan tiada punca kuasa untuk menyekat mana-mana rakyat daripada keluar negara bagi mengelakkan kejadian sama berterusan namun tambah Abd Latiff, kesedaran pemilik pasport itu sendiri menjadi pelindung daripada dimangsakan sindiket kerja luar negara.
“Kita tiada punca kuasa nak sekat rakyat kita, walaupun pasport itu adalah hak kerajaan.
“Itu hak mereka mengembara, elok di masa akan datang mereka nak mengembara ke luar negara, beritahu kepada saudara-mara, ibu-bapa tujuan nak pergi ke mana mana negara,” ujarnya lagi.