20 SEPT : Jepun meluluskan peruntukan bernilai 3.49 trilion yen (AS$24.3 bilion) daripada dana rizab untuk menyokong rakyatnya berdepan isu kenaikan harga makanan dan bahan api untuk tahun fiskal semasa, yang bermula 1 April, lapor Sputnik.
Pakej itu merangkumi bantuan pembiayaan berjumlah 50,000 yen (AS$348) kepada keluarga berpendapatan rendah serta subsidi kepada syarikat yang membekalkan tenaga secara borong, lapor penyiar tempatan NHK
Dana rizab untuk tahun fiskal semasa dianggarkan sebanyak lima trilion yen, menurut laporan itu.
Kira-kira 8,000 barangan dijangka mengalami peningkatan harga ketika musim luruh, dengan lebih 6,000 daripadanya dilaporkan meningkat pada Oktober.
Secara keseluruhan, sekitar 20,000 produk dijangka meningkat tahun ini, dengan purata kenaikan sebanyak 14 peratus, menurut pusat penyelidikan Jepun Teikoku Databank.
Pada masa yang sama, yen jatuh ke paras terendah minggu lalu dan didagangkan pada 144.9 berbanding dolar AS buat kali pertama sejak Ogos 1998.
Kejatuhan itu akibat perbezaan ketara pendekatan bank pusat Amerika Syarikat (AS) dan Jepun terhadap dasar monetari.
Rizab Persekutuan AS terus meningkatkan kadar faedah, manakala Jepun, sebaliknya, mengekalkan kadar negatif.