20 SEPT :: Seorang petani Palestin di Gaza yang ingin menanam pokok di tanahnya membawa kepada penemuan mozek lantai Byzantine bercorak pelbagai jenis burung berwarna-warni dan beberapa haiwan lain.
Salman al-Nabahin menemui peninggalan berkenaan enam bulan lalu ketika melakukan kerja bercucuk tanam di kebun zaitunnya di kem pelarian Bureij, kira-kira satu kilometer dari sempadan Israel.
Salman pada mulanya hairan dan tertanya-tanya berikutan beberapa pokok yang ditanamnya tidak tumbuh dengan baik.
Beliau bersama anaknya kemudian menggali tanah berkenaan sebelum kapak digunakan anaknya terkena sesuatu yang keras dan tidak dikenali rupanya.
“Saya membuat carian di internet sebelum mengetahui ia adalah mozek milik era Byzantine.
“Saya melihatnya sebagai sesuatu yang sangat berharga, lebih mahal daripada harta… ia bukan kepunyaan peribadi namun milik setiap rakyat Palestin,” kata bapa kepada tujuh anak itu.
Sementara itu, menurut Kementerian Pelancongan dan Kepurbaan Palestin, lantai membabitkan beberapa panel mozek berkenaan menggambarkan haiwan dan ciri-ciri lain kehidupan sosial ketika era Byzantine.
“Penemuan arkeologi masih di peringkat awal dan kami menunggu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rahsia dan nilai ketamadunannya.
“Pasukan penyelidik kebangsaan sedang bekerjasama dengan pakar dan saintis antarabangsa dari Sekolah Arkeologi Perancis bagi tujuan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Gaza yang kaya dengan barangan purba dan antik, pernah menjadi tempat perdagangan penting untuk tamadun sejak zaman Mesir kuno dan orang Filistin yang digambarkan dalam kitab Injil, hingga ke empayar Rom serta perang salib.
Beberapa penemuan berjaya dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini namun disebabkan kekurangan dana dan profesional yang berkaitan, Gaza akan menjemput kumpulan antarabangsa untuk membantu proses penggalian dan pemeliharaan.