20 SEPT : Kerajaan komited membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, ekoran sindiket penipuan kerja seperti yang disuarakan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti’ Malaysia (MCCC) dan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) telah pun mengadakan perjumpaan dengan Presiden MCCC. Tan Sri Musa Hassan dan Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim serta ahli keluarga mangsa-mangsa sindiket bagi mendapatkan maklumat terperinci, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok.
“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai
nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti di Laos, Myanmar,
Thailand dan Kemboja.
“Usaha-usaha sedang dilaksanakan melalui semua saluran yang ada dan Kerajaan akan
memastikan mereka dibawa pulang dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihati rakyat agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dengan sebarang tawaran kerja di luar negara.
“Pada masa yang sama, saya menasihatkan seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa
berhati-hati dan berwaspada dengan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Keluarga Malaysia perlu menyemak kesahihan tawaran kerja di luar negara melalui Wisma Putra, bagi mengelakkan diri daripada terjebak menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan,” ujarnya.