21 SEPT : Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, negara di serata dunia kini tersekat dalam kebuntuan menghadapi gangguan fungsi global yang sangat besar dikhuatiri tidak bersedia dan sanggup menangani cabaran utama yang mengancam masa depan kemanusiaan serta planet ini.
Beliau menekan perkara itu dalam ucapan merasmikan Perhimpunan Agung badan antarabangsa berkenaan yang dihadiri pemimpin dunia, semalam.
Katanya, ini termasuklah segala konflik yang berlaku di dunia hari ini seperti kemelut peperangan di Ukraine, kecemasan iklim, keadaan kewangan teruk di negara membangun, serta terjejasnya kemajuan dalam matlamat PBB untuk menamatkan kemiskinan tegar dan menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua kanak-kanak.
“Dunia kita sedang dalam bahaya serta berkemungkinan lumpuh, namun masih ada harapan dengan kerjasama dan dialog adalah satu-satunya jalan untuk ke hadapan.
“Tiada kuasa atau kumpulan yang dapat melakukannya sendirian maka dengan itu marilah kita sama-sama berganding bahu, sebagai satu gabungan dunia, sebagai bangsa yang bersatu,” katanya.