22 SEPT : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad memaklumkan bahawa kabinet hari ini bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pelbagai agensi yang diketuai Kementerian Luar Negeri bagi menangani isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat sindiket penipuan kerja.
Menurut Abd Latiff, isu tersebut telah dibincangkan secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan kerja,” katanya lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 September lalu menegaskan, kerajaan prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.
Beliau juga turut menasihati seluruh Keluarga Malaysia agar sentiasa berwaspada dengan sebarag tawaran pekerjaan di luar negara.
Media pada 13 September lalu, melaporkan seramai 29 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja, yang masih berada di depoh imigresen negara itu, dijangka dibawa pulang secara berperingkat bermula hujung bulan ini.
Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata, 24 mangsa telah dibawa pulang lebih awal, dan proses membawa pulang baki mangsa terbabit dijangka selesai selewat-lewatnya pada Oktober.
Selain itu, Eldeen Husaini berkata 30 lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja sedang dicari pihak berkuasa negara itu.