21 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan memberikan layanan istimewa kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menempatkan beliau di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, sebaliknya Ahli Parlimen Pekan itu akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya selepas doktor dan pakar mengesahkan beliau sudah boleh dibenarkan keluar.
“Tiada layanan istimewa. Dia pada mulanya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini di Hospital Rehabilitasi Cheras. Ketika ini, mereka (doktor dan pakar) sedang menyediakan laporan kesihatan Najib untuk dikongsikan dengan keluarganya pada sidang keluarga itu.
“Sebaik laporan kesihatan sudah disediakan, ia bermakna pakar sudah berpuas hati (dengan tahap kesihatan) dan Najib boleh pulang (ke penjara),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas pencapaian satu tahunnya sebagai Menteri Kesihatan, Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tambah Khairy, beliau juga tidak boleh mengarahkan bila doktor dan pakar yang merawat Najib patut mengadakan sidang keluarga itu dan pada masa sama, beliau sebagai Menteri Kesihatan juga terikat dengan kerahsiaan data peribadi pesakit termasuk Najib.
“Berikutan itu, saya tidak boleh mendedahkan masalah kesihatan yang dialami Najib ketika ini. Semua langkah dan tindakan yang diambil dalam menangani isu kesihatan Najib bagi mengelakkan timbul sebarang pertikaian baik daripada bekas Perdana Menteri itu, keluarganya atau mana-mana pihak.
“KKM menjalankan tugas secara profesional mengikut tatacara dan garis panduan sedia ada. Kita sudah sedia semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta, kita sudah melaksanakannya.
“Pada masa sama, Najib diberikan latihan untuk melakukan sendiri rawatan rehabilitasi. Tiada rawatan fisioterapi yang dibuat tapi saya difahamkan boleh dibuat secara kendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Khairy berkata, sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit termasuk banduan boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah.