21 SEPT : Langkah untuk menambat ringgit akan mengundang risiko kepada ekonomi negara kerana tindakan itu akan memberi tekanan kepada kos pembiayaan yang lebih tinggi memandangkan kadar faedah negara perlu mencerminkan dasar monetari negara mata wang yang ditambat.
Justeru, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di atas sebab itu kerajaan tidak bercadangkan untuk mengambil langkah tersebut.
Beliau menjelaskan lagi, seandainya tambatan dilaksanakan, Malaysia perlu mengikut sepenuhnya dasar monetari negara yang mata wangnya menjadi ‘rujukan’ atau asas bagi tambatan ringgit.
“Jika ringgit ditambat, Malaysia akan menghadapi kekangan untuk menetapkan dasar monetari dan rakyat terpaksa menanggung kos pembiayaan yang tinggi walaupun keadaan ekonomi negara kita tidak sama seperti di AS.
Langkah tambatan matawang juga perlu dilengkapi dengan langkah kawalan modal bagi mengelakkan pengaliran keluar modal. Tindakan ini pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Pembangunan dan Pembiayaan Perumahan Hijau Asia anjuran Cagamas Bhd.
Sehingga kini, Rizab Persekutuan AS telah meningkatkan 225 mata asas kadar faedahnya dan ia dijangka akan menaikkan lagi 75 mata asas hingga 100 mata asas hari ini.