21 SEPT : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pakar perubatan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau.
Menurut Jabatan Penjara Malaysia, pada 12 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan agar Ahli Parlimen Pekan itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan setelah dimaklumkan keadaan kesihatan beliau tidak memuaskan.
“Pada 19 September 2022, pihak HKL telah merujuk Najib ke HRC untuk rawatan dan pemantauan lanjutan sehingga kini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, sebagai pihak berkuasa yang melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Penjara, selain melaksanakan hukuman yang telah dijatuhkan, pihak Jabatan Penjara juga bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan banduan sentiasa dipantau dan dijaga.
“Ini termasuklah penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” jelasnya.