Tiga negeri di bawah PAS tidak akan bubar DUN tahun ini
21 SEPT : PAS membuat keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di ketiga-tiga negeri yang ditadbir mereka sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini, demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Menurut Mohd Amar, DUN di ketiga-tiga negeri ditadbir parti tersebut iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun hadapan.
“Jadi, Pas dalam mesyuaratnya dalam dua tiga minggu lepas telah membuat keputusan sekiranya Parlimen dibubar dalam bulan 10 Oktober ke bulan 11 November sepertimana diperkatakan, kita tidak akan bubar DUN.
“Tiga negeri ini kelantan, Kedah dan Terengganu dikuasai oleh PAS. Jadi, kita tidak akan bubar DUN tiga-tiga negeri ini, kecuali kalau Parlimen dibubarkan tahun hadapan,” kata Mohd Amar.
Mohd Amar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dipejabatnya, di Kota Bahru hari ini.
Menurut Mohd Amar, PAS berpendapat, tidak ada keperluan untuk Parlimen dibubarkan pada tahun ini memandangkan kerajaan yang ada hari ini stabil.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, apa yang wajar diberikan tumpuan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ini ialah isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.
Mohd Amar berkata, kebiasaannya negeri-negeri di pantai timur khasnya berdepan dengan kemungkinan banjir justeru, pilihan raya umum tidak sesuai diadakan apatah lagi melibatkan kos dan kewangan negara yang besar.