23 SEPT : Pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan selesai dalam tempoh terdekat, selepas beberapa pertemuan diadakan bersama semua pimpinan yang berada dalam PN.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, satu perbincangan sudah dilakukan sebelum ini namun tiada keputusan muktamad mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.
“Saya difahamkan mesyuarat pertama sudah diadakan, mesyuarat kedua dan ketiga akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat dan kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya selepas program Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera PRU-15 di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Kuala Nerus malam tadi.
Tuan Ibrahim berkata, PAS juga sudah berada di ‘gear’ terakhir dan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU-15.
“Insya-Allah daripada segi parti, kita (juga) masih menunggu mengenai tarikh persiapan PRU-15, tetapi secara keseluruhannya kita dapati negeri-negeri sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.
Mengenai manifesto PRU-15 bagi gabungan parti di dalam PN, Tuan Ibrahim berkata, PN sudah menubuhkan satu jawatankuasa manifesto PRU-15 yang memberi fokus kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Manifesto bersama kita sudah draf (dan) jawatankuasa manifesto bersama juga diwujudkan untuk merangka mengenai asas dan dasar-dasar utama.
“Tumpuan utama kita yang pertama untuk pemulihan ekonomi negara dan kedua, kita akui bahawa isu perubahan iklim ada impak secara langsung kepada situasi negara.
“Jadi kita beri keutamaan soal kebajikan rakyat dan sebagainya serta melihat isu yang menjadi keutamaan juga dan dalam konteks ini ialah sebuah negara yang berintegriti tinggi, bebas rasuah serta menjamin keadilan kepada semua rakyat,” katanya.