23 SEPT : Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.
HRC menerusi satu kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.
“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.
“Pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau,” kata HRC.
Dalam kenyataan itu, HRC berkata pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan Najib dihantar semula ke Penjara Kajang.
“Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.