24 SEPT : Seramai 13 mangsa termasuk pemandu cedera parah selepas bas dinaiki 38 pekerja sebuah kilang di Batu Berendam, Alor Gajah, menggelungsur ke bawah tebing di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak, malam ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Abu Bakar Katain, berkata 13 mangsa termasuk pemandu cedera parah dan dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan, manakala selebihnya dihantar ke klinik berdekatan.
Katanya, mangsa membabitkan warga Nepal dan Myanmar, manakala pemandu adalah rakyat tempatan dengan semua mangsa berusia antara lingkungan 20-an dan 30-an.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.57 malam dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
“Siasatan awal mendapati bas berkenaan baru tiba di asrama pekerja sebelum kenderaan itu menggelungsur sejauh 150 meter ke bawah tebing dengan ketinggian kira-kira 50 meter dari jalan raya, dipercayai akibat kegagalan brek.
“Bas kemudiannya tersangkut di pokok di bawah tebing berkenaan dan mangsa dikeluarkan menerusi tingkap kenderaan yang pecahkan orang awam dan pegawai serta anggota bomba,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini.
” Seramai 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Jasin Bistari dan Alor Gajah terbabit dalam operasi menyelamat yang memakan masa selama 45 minit,” katanya.