24 SEPT : Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin mengakui banjir kilat yang melanda Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pagi tadi sebagai amat memalukan.
Justeru, beliau berharap pihak berkuasa berkaitan lapangan terbang akan mencari penyelesaian terhadap perkara itu.
“Saya harap pihak berkuasa berkaitan seperti Malaysia Airport, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang, dapat membincangkan dan bekerjasama untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.
Hujan lebat sejak 5 pagi itu mengakibatkan kawasan Bayan Lepas, Bayan Baru serta Bukit Jambul, terjejas dan beberapa laluan utama ditenggelami air sehingga menyukarkan kenderaan ringan melalui jalan tersebut.
Mengulas kejadian itu, Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Byan Lepas, berkata banjir kilat pagi tadi melanda kawasan pintu masuk dan keluar di luar bahagian bawah LTAPP.
“LTAPP ialah imej hospitaliti dan tanggapan pertama kepada dunia, jadi sungguh memalukan melihat banjir di lapangan terbang itu.
“Ia pasti akan menjejaskan usaha saya untuk mempromosikan Pulau Pinang dan melemahkan imej negeri ini,” katanya.
Katanya lagi, beliau sudah bekerja keras dan mempunyai banyak rancangan untuk membawa lebih banyak acara antarabangsa utama ke negeri ini dan lebih banyak penerbangan terus serta lebih ramai pelancong ke Pulau Pinang. – BERNAMA