24 SEPT : Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa semua pengundi baharu berumur 18 tahun ke atas untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana ia adalah fardu ain yang diwajibkan ke atas mereka yang beragama Islam.
Menurutnya, tanggungjawab mengundi kini bukan lagi fardu kifayah berdasarkan kepada situasi politik semasa.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan (menyedarkan) kepada anak-anak muda yang berumur 18 tahun, yang akan menjadi pengundi baharu ini untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. Kerana ia adalah kewajipan fardu ain.
“Ini kerana dalam suasana orang Islam dalam bahaya ketika ini, (keperluan untuk turun mengundi) sudah jadi fardu ain, bukan lagi fardu kifayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millenium Lubuk Merbau di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria serta Timbalan Pesuruhjaya, Mohd Akmal Kamarudin.
Tegas Abdul Hadi, jika ada ada ulama mahu mencabar berkenaan pandangan ini, beliau sanggup berhujah berkenaan perkara itu.
“Bacalah dalam kitab-kitab fiqah, dalam bab jihad. Kita memilih (pilihan raya sebagai medan) jihad secara damai, tidak mahu secara keras.
“Malah, ulama mengatakan apabila Islam sudah berdaulat dan memerintah, maka ia jihad yang fardu kifayah. Namun, apabila Islam jatuh dan dalam bahaya, jihad itu menjadi fardu ain,” ujarnya.
Pada bulan lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, dijangka terdapat pertambahan seramai 7.8 juta pengundi baharu pada PRU15 akan datang.
Katanya, daripada jumlah itu, 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun, sekali gus menunjukkan jumlah pengundi baharu mewakili 34 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata pengundi muda tidak seharusnya memandang ringan soal politik dan seterusnya menentukan pemimpin negara melalui pilihan raya.
Ujar Ahli Parlimen Marang itu, amat malang sekiranya dalam kalangan rakyat terutama masyarakat Melayu atau umat Islam yang telah diberi ruang untuk mengundi pada pilihan raya, namun tidak berbuat demikian.
“Ramai orang muda menganggap mengundi ini tidak penting, lalu mereka tidak keluar mengundi. Mereka mengatakan tidak perlu ambil tahu tentang hal politik.
“Ada juga yang cakap sesiapa sahaja yang memerintah sekali pun, sama sahaja. Sebaliknya dia tidak sedar bahawa kuasa politiklah yang menentukan kedaulatan Islam,” katanya.