24 SEPT : Pelawat yang ingin masuk ke Thailand kini tidak lagi perlu menunjukkan bukti lengkap menerima vaksin COVID-19 dan mengemukakan keputusan ujian pantas COVID-19 ketika ketibaan untuk memasuki negara itu mulai bulan depan.
Thailand mengambil langkah untuk melonggarkan sekatan COVID-19 serta mempromosikan perjalanan dan juga perniagaan.
Jurucakap Pusat bagi Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Dr Taweesin Visanuyothin, berkata memandangkan situasi pandemik berkenaan semakin baik, Thailand akan menamatkan darurat seluruh negara yang dilaksanakan pada 24 Mac 2020 bagi membendung penularan wabak itu pada 30 September ini.
“Pesakit COVID-19 yang tidak bergejala atau bergejala ringan tidak perlu dikuarantin. Kedudukan COVID-19 akan diturunkan daripada penyakit berjangkit berbahaya kepada penyakit berjangkit dalam pengawasan mulai 1 Oktober ini,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata, CCSA akan dibubarkan dan menamatkan peranannya dalam membendung COVID-19.
Thailand menyasarkan kedatangan sekurang-kurangnya 10 juta pelancong asing menjelang akhir tahun ini dengan 1.5 juta pelancong asing dari Oktober hingga Disember.
Setakat ini, Thailand merekodkan 752 kes COVID-19 dengan sembilan kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 4,677,090 dan 32,692 kematian.