26 SEPT : Populasi lembu di India dikhuatiri terjejas apabila lebih 185,000 ekor lembu di negara itu dijangkiti penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD).
Setakat ini, penyakit yang boleh tersebar melalui gigitan serangga vektor seperti nyamuk atau lalat sebelum berjangkit menerusi rembesan air liur dan hidung telah mengorbankan 75,000 ekor lembu.
Untuk membendung rantaian penularan, langkah telah diambil di negeri yang terjejas seperti menyembur racun serangga nyamuk di ladang lembu, mengasingkan lembu yang dijangkiti dan meletakkan larangan pergerakan.
Selain itu, sejumlah 9.7 juta dos vaksin telah diedarkan sejak awal September, kata media tempatan memetik data rasmi.
Penyakit ini menyebabkan demam akut, lelehan cecair dari mata dan hidung, air liur, bintik-bintik lembut seperti lepuh di seluruh badan dan kesukaran untuk makan.
LSD merupakan satu endemik di kebanyakan negara Afrika dan mula merebak ke China dan Asia Tenggara sejak 2019 di mana hanya lembu dan kerbau dijangkiti.