26 SEPT : Dianggarkan puluhan penumpang masih hilang dalam insiden sebuah feri yang karam di Sungai Karatoya, Bangladesh semalam.
Setakat ini, 12 wanita termasuk lapan kanak-kanak disahkan lemas dalam insiden tersebut.
Pegawai Daerah Panchagarh, Jahurul Islam berkata, feri itu dilaporkan sedang membawa kebanyakan penganut ke sebuah kuil Hindu bersempena dengan sambutan keagamaan Mahalaya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan di mana pihak berkuasa turut menghadapi cabaran mengenal pasti angka sebenar penumpang feri berkenaan.
Feri berkenaan difahamkan membawa lebih daripada 70 orang penumpang.
Satu jawatankuasa juga telah dibentuk untuk menyiasat punca kejadian tersebut.
Seramai 20 penumpang dipercayai masih hilang manakala beberapa penumpang berjaya berenang ke darat atau diselamatkan.
Setiap tahun, ratusan orang maut dalam kemalangan feri di Bangladesh yang merupakan negara dengan dataran yang rendah dan laluan air pedalaman yang luas, namun piawaian keselamatan yang longgar.