26 SEPT : Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pagi tadi untuk lawatan kerja selama empat hari bermula hari ini.
Ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohammed Al Mazrouei, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Kamarudin Jaffar, Duta Besar UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammed Alghaith serta wakil-wakil daripada Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE.
Pada hari pertama lawatannya, beliau dijadual bertemu Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Istana Presiden di Abu Dhabi yang merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak Sheikh Mohamed dilantik sebagai Presiden UAE pada 14 Mei lalu.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, fokus perbincangan antara kedua-dua pemimpin termasuk meneroka bidang kerjasama berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.
Antara bidang tumpuan baharu termasuk ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan, tenaga boleh baharu serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5-Tahun.
Sebelum pertemuan dua hala itu, Ismail Sabri turut mengadakan lawatan ke Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) dengan fokus utama ialah prospek kerjasama antara ADNOC dan Petronas dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh baharu.