186 kawasan berisiko kepala air dikenal pasti
27 SEPT : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 186 kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air pada musim Monsun Timur Laut (MTL) membabitkan kawasan air terjun dan sungai di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid, berkata daripada keseluruhan kawasan, Sabah mencatatkan jumlah lokasi berisiko berlaku kepala air tertinggi iaitu 52 lokasi, diikuti Kedah sebanyak 24 lokasi.
“Langkah berjaga-jaga sudah dibuat beberapa jabatan seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi persediaan mengenal pasti lokasi terbabit.
“Mereka (jabatan itu) sudah mengambil langkah mitigasi seperti pemasangan pengesan pergerakan dan sistem amaran awal bagi memudahkan anggota keselamatan yang terbabit bertindak,” katanya pada Sesi Pemantauan Latihan dan Persediaan JBPM Menghadapi Fenomena MTL di Jeti Awam, Tasek Banding di sini, hari ini.
Mohamad Hamdan berkata, JBPM memberi tumpuan kepada kawasan kepala air yang terdapat kependudukan kerana dikhuatiri akan meragut nyawa penduduk.
“Kita fokus mengenai perkara ini kerana jika ada kependudukan seperti yang berlaku di Titi Hayun di kaki Gunung Jerai, Kedah, yang mana ada penduduk dan membabitkan kematian di kawasan berkenaan.
“Pihak JMG sudah meletakkan pengesan pergerakan dan sistem amaran awal yang jelas tidak disalahfahami oleh penduduk dan mereka dapat bertindak segera,” katanya.
Seramai enam orang terkorban dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu akibat dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh, selain kediaman, premis dan pengusaha chalet pelancongan desa terkesan ekoran fenomena itu.