27 SEPT : Puluhan penunjuk perasaan menyertai protes di Shenzen bagi membantah perintah berkurung COVID-19 terbaru di daerah itu.
Berdasarkan paparan di media sosial, penduduk setempat membantah selepas pihak berkuasa mengumumkan perintah berkurung ‘mengejut’ walaupun kawasan itu hanya merekodkan kes COVID-19 yang kecil.
Bandar mega dengan 18 juta penduduk itu dilapor merekodkan hanya 10 kes positif hari ini, namun pegawai masih mahu mengarahkan penduduk di tiga daerah untuk berada di rumah.
Protes merupakan sesuatu yang jarang berlaku di Shenzen namun ia tercetus susulan dasar sifar COVID-19 yang diamalkan China.
Pihak berkuasa juga di bawah tekanan untuk memerangi wabak itu dengan cepat menjelang mesyuarat politik mustahak di sini pada bulan depan.
Beberapa video yang tular di media sosial republik itu, Weibo dan Instagram sejak Isnin lalu, termasuk yang disahkan sendiri oleh AFP, menunjukkan puluhan penunjuk perasaan berteriak ‘tarik perintah berkurung COVID-19’ di hadapan barisan pasukan polis lengkap dengan peralatan anti rusuhan.
Terdapat juga satu klip video yang menunjukkan seorang wanita menjerit ‘polis memukul orang’.
Tunjuk perasaan berlangsung di Shawei, kawasan kejiranan yang terletak di daerah Futian, di mana terletaknya pusat pentadbiran kerajaan.
Stesen kereta api bawah tanah Shawei terpaksa ditutup bermula jam 10 pagi tadi sehingga notis lanjut dikeluarkan, sebagai sebahagian langkah pencegahan dan kawalan pandemik, kata operator perkhidmatan itu dalam satu kenyataan.
Sekurang-kurangnya 14 kawasan berisiko tinggi di tiga daerah iaitu Futian, Luohu dan Longgang diisytiharkan perintah berkurung hari ini.
Susulan arahan itu, penduduk dipaksa duduk di rumah, kata pegawai tanpa mengemukakan perincian mengenai jumlah individu yang terkesan.
Sebanyak 15 kawasan kejiranan lain disenarai sebagai berisiko sederhana, dengan penduduk dibenarkan untuk keluar tetapi hanya di sekitar perkarangan kediaman.
China satu-satunya negara ekonomi besar yang masih berpegang kepada strategi sifar COVID-19. Sempadan republik itu masih ditutup sejak virus berkenaan muncul pada penghujung 2019.