27 SEPT : Penurunan harga minyak tidak menunjukkan isyarat akan reda apabila penjual yang mengawal pasaran berusaha keras dalam usaha menjadikan minyak mentah Amerika Syarikat (AS) serendah AS$70 setong, lapor Sputnik.
Dagangan West Texas Intermediate, atau WTI diniagakan di New York, yang bertindak sebagai penanda aras minyak mentah AS, berakhir pada AS$76.71 setong semalam, susut AS$2.03, atau 2.6 peratus.
WTI jatuh 40 peratus sejak mencecah paras tertinggi sekitar AS$130 pada 7 Mac lalu, dua minggu selepas perang Russia-Ukraine tercetus.
“Pemangkinnya mungkin adalah asas ekonomi, namun pastinya ada sasaran terhadapnya, dan sasaran itu amat teknikal,” kata Ketua Ahli Strategi Teknikal SKCharting.com, Sunil Kumar Dixit.
“Buat masa sekarang, sasaran WTI adalah AS$72 dan jika itu dilepasi, ia akan menjadi AS$63.”
Dengan dagangan September akan berakhir pada Jumaat ini, WTI juga susut 14 peratus setakat bulan ini.
Selain itu, ia turut menuju ke arah penurunan suku tahunan pertama sejak 2020, dengan kejatuhan sebanyak 27 peratus setakat semalam bagi tempoh Julai hingga September.
Brent, penanda aras minyak global yang diniagakan di London, berakhir pada AS$84.06, susut AS$2.09, atau 2.4 peratus semalam.
Sama seperti WTI, Brent juga jatuh kira-kira 40 peratus daripada kemuncak Mac pada hampir AS$140.
Bagi bulan ini, Brent turun 13 peratus, manakala pada suku ketiga, ia 28 peratus lebih rendah.
Pelabur mengelak daripada risiko di seluruh pasaran apabila bank-bank pusat global, dipimpin oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, melaksanakan kenaikan kadar lebih agresif dalam tempoh 40 tahun bagi membendung inflasi.
Fed telah menaikkan kadar sebanyak 300 mata tahun ini dan merancang untuk menambah 125 mata lagi pada Disember, selepas bermula hanya 25 mata pada Februari.
Tindakan bank pusat itu menyebabkan dolar melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun.
Dolar yang lebih kukuh kebiasaannya adalah buruk bagi komoditi yang ditetapkan pada harga dolar, seperti minyak mentah, kerana ia menjadikannya lebih mahal bagi sesiapa yang menggunakan euro dan mata wang lain.